Segmen 1:
Malam itu hujan turun tak berhenti henti diselangi dengan dentuman kilat yang sambar-menyambar bagaikan letupan nuklear yang memecahkan gegendang telingaku. Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi, namun mataku belum mahu lelap walaupun sedetik. Ku pusingkan badanku ke kiri, ku pusingkan badanku ke kanan namun resahku tetap mencucuk-cucuk badanku yang semakin rimas dengan keadaan ini. Walaupun hujan mencurah-curah dan dingin yang mencengkam ini sepatutnya menghadirkan keadaan yang amat mengasyikkan untuk insan melelapkan mata, namun aku tidak untuk pagi ini. Badanku rimas, berpeluh peluh. Panas sungguh aku rasakan walaupun telah pun aku pasang kipas pada maksimumnya.
Bengang.................
Gedegang!!!!!!
Kilat berdentum dan memeranjatkan aku sekali lagi. Suweyy suwey…Aku bingkas bangun dari katil lalu duduk seraya membuka baju t-shirtku yang seakan lencun dibasahi peluh. Tidak dapat ku fahami mengapa keadaan yang sebegini melanda aku pada pagi ini.Pagi yang sepatutnya aku lena, lebih lebih lagi dengan kedinginan hujan yang lebat ini. Whargh....tension ..tension…Tanganku terus mencapai remote control Hi-Fi. Sebentar kemudian kedengaran lagu ‘Cemetary Gates’ dendangan band metal kegemaranku Pantera. “...believe the words, I will unlocked the door and passed the cemetary gates......” aku bernyanyi mengikuti vokal Phil Anselmo yang garau tetapi menpunyai vokal nada tinggi yang baik terutama ketika menjerit pada note yang tinggi.
Aku cuba melayan resah perasaanku dengan alunan CD itu seterusnya tapi gagal. Perasaan yang semakin menebal dengan kerimasan ini sukar hendak ku bendung dengan lagu yang ternyata brutal ini. Argh!! Ktap! Serentak dengan dengusan itu aku mematikan putaran pemain CD itu lalu ku tukar kepada siaran radio. Biasanya kalau pagi pagi ini mesti lagu lagu slow yang feeling punya, kot kot boleh mententeramkan jiwaku yang resah ini. Mula mula aku tukar stesen ke stesen dahulu mencari stesen yang masih beroperasi. “Yeah! Yeah! Yeah! Selamat pagi semua, selamat pagi yang tua, yang muda , yang cun, yang tak cun pun juge...he he he, masih tak tido ke dik oii!!! , kalau gitu join sama Abang Dozo, DJ Canggih Manggih maa...cam buah manggih...”
“Maa...cam sial!” detik hatiku berkata. “DJ Canggih kejadah, boring gile..lagi nak dengar suara jantan keparat kabaret ni pagi pagi buta ni!” Aku mencuba stesen lain pula … “...hei anda yang masih tak lena tu, kenapa tak tidur lagi? Ingatkan saya ke, F.I.Z.A ,Fiza? DJ yang sentiasa menemani anda di pagi pagi yang syahdu ini..yeah...” “Ha macam ni la, pagi pagi cam ni dengor suara awek.. baru la best brader” detik hatiku lagi "..untuk anda yang kesunyian, yang keresahan, yang sedang menanti..sebuah lagu slow ..romantik... dari penyanyi kecil molek..namun berbakat besar… khas untuk anda yang juga setia bersama saya F.I.Z.A, sama-sama dengarkan dari Siti Nurhaliza, Jawapan di Persimpangan…” Seketika aku khayal mendengarkan kelunakan vokal Siti yang mendayu- dayu itu juga lirik yang ku kirakan indah...
Resahku hilang seketika, mata ku sedikit berat namun jam sudah menunjukkan pukul 3.00 pagi. Nak tido pun malas. Untuk menambahkan feeling lagi aku mematikan lampu bilik ku. "Gelap sangat pulak!” detikku. Tiba-tiba badanku mengeletar dan titik-titik peluh dapat ku rasakan mula timbul di permukaan kulit muka ku. Peluh dingin mula memercik dari tubuhku yang tak bersalut dengan baju ini. Perasaan resah itu kembali mendadak, mengelodakkan jiwa ini yang semakin pusing. Aku menahan keperitan itu sedaya upayaku. Bulu roma ku berdiri menahan kedinginan yang tiba tiba terasa mencengkam hingga ke tulang. Gelap bilik ini pula semakin menyesakkan nafasku. Aku kembali terbaring ke katil mengiring membengkokkan badanku umpama udang yang digoreng menahan kesakitan yang amat ini.
Berbagai-bagai bunyi pula yang kedengaran di kepala ku yang sedang berdesing ini. Kesemua bunyi ini seakan akan mengejek dan mentertawakan aku yang sedang kesakitan ini. Ingin saja aku menumbuk dan menerajang ataupun paling kurang menjentik hidung yang empunya suara suara yang tidak kelihatan ini.Jahanam.....!!!
Dalam kesakitan itu aku teringat sesuatu..kepalaku mencari cari jawapan kepada keperitan ini.
Awal malam tadi Pak Awang ada datang berjumpaku. Sebagaimana yang telah kami setujui perjumpaan ini dilakukan pada tepat jam 12.00 tengah malam Jumaat Keliwon iaitu malam tadi. Ternyata Pak Awang tidak mempersia-siakan janjinya kepada ku.Nampaknya rancangan yang kami susun akan terlaksana jua akhirnya. Di bawah pohon jambu batu itu kami duduk dan berbicara “Pak Awang yakin ke ni boleh jadi?” kataku. "Hei anak muda, jangan takut ni Pak Awang la..Sape tak kenal..buat mesti jadi punya..Ha..ha..ha..” balasnya sambil ketawa “...insyaallah”' sambungnya, sedikit berhati-hati dengan ucapan yang seperti takbur pada awalnya.
“Kalau gitu saya serahkan segala pada Pakcik” kataku. “Hmm..baiklah” jawab Pak Awang. Dalam pada itu hati berdebar-debar dan berbaur ketakutan. Pak Awang pula tersenyum, bagaikan dapat membaca apa yang tersirat di hatiku. Pak Awang kelihatan konfiden habis. Salakan anjing jelas kedengaran dari kawasan perkuburan Cina yang tidak jauh dari sini. Tempat ni pula gelap hanya cahaya sang rambulan sahaja yang memberikan sedikit cahaya terang untuk kami melakukan rancangan kami. Api dari puntung rokok Pak Awang pula kelihatan seperti mata pelesit merah menyala. Bunyi cengkerik pula berdesing dan menyakitkan gegendang telingaku tidak seperti lagu lagu metallica yang walaupun bising tetapi sungguh mengasyikan.
“Apa yang kau menongkan lagi Pires cepat pasangkan lilin tu. Kau nak ke tak nak ?” Celaka punya orang tua..tak boleh orang senang sikit. Tapi aku tak boleh melawan sebab aku yang beria ia nak buat benda ni. Sambil aku membuat kerja ni bermacam suara dan bunyi yang aku dengar terutama dari kawasan kubur itu dan sungai di sebelah pohon jambu ini. Ketakutan sentiasa bermain di benakku namun aku telah berjanji dengan Pak Awang aku tak akan bertanya atau cabul ketika melakukan kerja ini dan supaya menghiraukan segala bunyi atau kejadian yang berlaku ketika perkerjaan ini berlangsung. "Sabar Pires cool Pires jangan takut beb” kataku dalam hatiku sendiri, cuba menenangkan perasaan yang mula goyah ini
.
Setelah hampir setengah jam segala persiapan yang dirancangkan telah tersusun rapi. "O.K siap!” kata Pak Awang sedikit ego. Dia seperti sudah masak dengan pekerjaan ini dan selesa menghisap rokok daunnya yang baunya dapat di hidu walaupun dia berada 20 depa dari ku. Aku terpaksa tahan saja bau asap rokoknya yang tebal itu.Kadang-kadang tak dapat aku bezakan asap rokoknya yang tebal itu dan kabus yang mula menyelubungi pagi ini. “Pak Awang lama lagi ke ?” aku yang sudah mula kesejukan ni bertanya. "Kau ni memang tak reti sabar la Pires. Aku hentak juga pulak budak ni kang. Cuba diam sikit, aku tengah sedia ni tau” sergah Pak Awang. Aku terdiam tapi dalam hatiku menyumpah yumpah diriku sendiri yang seakan menyesal membuat rancangan yang sungguh tak ku duga ini. Nak sesal sekarang pun tak guna, orang putih cakap "the show must go on".
Pak Awang melilitkan kain merah dikepalanya dengan rapi. Aku yang kini sedang duduk mencangkung memerhatikan sahaja gerak-geri orang tua yang misterius yang telah aku temui di bandar tempohari. Pak Awang yang ku kenali di bandar menjual ubat ubatan tradisional telah aku dekati untuk menyempurnakan hajatku. Sekali pandang Pak Awang ni kelihatan macam watak Din Beramboi di dalam majalah humor Ujang yang famous tu. Dengan rambutnya yang tak terurus dan seluarnya yang sinsing sebelah pasti orang akan menganggapnya kurang siuman orangnya. Cakapnya pula kadang kadang suka menengking tapi kekadang melalut. Ada sekali masa dia sedang sibuk mempromosikan ubatannya, ada mat rock rambut panjang membuat lawak terhadap cakapannya dengan mengajuk setiap perkataannya " ..rambut taq di makannya gunting, engko ditempelengnya Cina..." ajuk Mat Rock itu siap dengan dialek Jowo sekali. Apa lagi Pak Awang melompat dan membuka bunga silat yang entah apa apa jurusnya pun aku sendiri tak pernah nampak. Nak cakap silat cekak bukan,silat harimau jauh sekali.
Mat Rock tadi tu terperanjat dan naik gelabah. Tak sangka pula Pak Awang boleh sergah dia macam tu. Konon-konon nak tunjuk gangster tapi jadi macam ni pula. Kecoh beb. Tiba-tiba Pak Awang mencucuk jari manisnya ke perut Mat Rock yang terperanjat pig itu dengan sentuhan yang lembut sahaja tetapi Mat Rock tu terketar-ketar minta ampun dan terduduk dekat becak di atas kaki lima. Habis basah seluar dia. Dengan suara tersangkut-sangkut dia minta Pak Awang lepaskan dia padahal Pak Awang tidak memegang dia pun. Pak Awang dengan selambanya mengusap kepala mat Rock sebanyak tiga kali dan mat rock tadi pun terus bangun dan cabut.
Orang orang di sekeliling termasuk aku tercengang dan terdiam seketika. Melihat keadaan ni Pak Awang pun berkata "Tu la orang tua cakap jangan nak menyampuk, kan dah kena sampuk. Lain kali nak hilangkan sampuk beli ubat Wak cap burung Jampuk yeah brader semua !! Apa la lu mat!..” Serentak dengan itu juga orang semua ketawa dan Pak Awang terus menyambung demonya. Dalam pada tu hatiku berkata. "Aik! Tadi masa promo cakap slang Jawa pekat ..alih alih je tukar slang biasa pulak.Tapi ilmunya boleh tahan, tak pernah aku tengok orang dikunci dengan hanya satu sentuhan jari yang lembut pulak tu. Mungkin dia ni lah orang yang boleh tolong aku”
Hati aku bagai ditarik tarik untuk mengenali orang tua ini dengan lebih dalam lagi lalu setelah 3 jam aku menunggu waktu bisnesnya selesai, aku pun berkenalan dengannya dan menyatakan hasratku. Pada mulanya orang tua yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Awang sahaja, menolak hajatku dengan alasan dia sudah tiada masa untuk melakukan pekerjaan itu kerana sibuk dengan bisnesnya. Namun setelah aku mendesak dan memujuk serta menjanjikan ganjaran yang agak lumayan, dia akhirnya bersetuju juga. “Yahoo!” teriak hatiku. Lihatlah dunia nanti siapa Pires sebenarnya, dan aku pun terus berangan-angan. Tetapi dari situlah dan pada hari berikutnya kami telah membuat perjanjian untuk perjumpaan ini.
Hergh!!heq.heq..heq.Wharghrr!!phuii!!
“Entah apa apa jampi Pak Awang ni,kedengaran macam cakap Jerman campur Urdu je..dah tu alih alih ludah kat sebelah kiri dia.Tempias ludahnya terasa memercik sedikit ke lenganku. Yekk!!..Sejuk campur suam semacam je..dah tu baunya teramatlah speng hinggi menusuk ke lubang hidung semut sekalipun tak dapat aku gambarkan” Kemudian secara tiba tiba dia melompat dan bersilat dan bercakap seperti ada seseorang atau sesuatu dihadapannya. "Wes..qrxct.ngrengko.pret wa.ngedung.ngedung ngelir..xstfv..faq..yu..skepek.dok.shit..brr..brr” “ Mak datuk apa ni” hati berkata "Brader ni biar betul, cuak gua!”. Tetapi bila teringat pesan Pak Awang supaya berdiam diri ketika dia melakukan tugas itu, aku mematikan diriku, tetapi takutnya hanya tuhan yang tahu.
Menyesal...menyesal...menyesal...itulah perkataan yang terkeluar dalam hatiku dan hampir-hampir sahaja terucap di bibirku kalau tak kerana tangan menekup mulut ini dengan eratnya. Terasa nak terkencing pun ada juga..nak lari pun ada juga. Tiba-tiba suasana menjadi senyap sesenyap senyapnya. Bunyi cengkerik pun seakan akan tak kedengaran lagi. Pak Awang kelihatan terbaring dan tidak bersuara langsung. Kabus yang semakin tebal itu pula menyukarkan penglihatanku. Aku ingin bergerak ke Pak Awang tetapi tubuhku terasa sungguh berat. Suaraku pula seakan tidak boleh keluar. Mataku pejam seketika dan apabila ku buka, Pak Awang sudah tiada di tempat tadi. Dalam hatiku pula sudah bermacam ayat suci yang aku teringat ku baca walaupun tunggang langgang sahaja bunyinya.
"Mana pulak orang tua ni pegi ni? Ado,mampos gua!” hati ku berdetik. Bermacam andaian ku buat. Pak Awang cabut lari, kena culik, kena tangkap hantu,pergi berak dan bermacam lagi untuk menyedapkan hati aku sendiri. Tiba-tiba leher ku terasa sejuk dan terdengar hilaian ketawa...Haa..Haa..ha… Aku mengeletar ketakutan. “Mampos la aku kali ini!” Terasa tangan yang berbulu menyentuh kulit leherku dan menarik ku bangun. Aku memejamkan mata ku dan hanya berdoa kepada tuhan supaya dilepaskan daripada mahkluk yang memegang aku ini.
"Hoi apa takut sangat!..he...he...he…” "Pakcik la” Aku membuka mataku. "Cinabeng punya orang tua,macam nak luruh jantung aku di buatnya!” makiku dalam hati. "Pakcik tak tahan tadi nak kencing, pakcik pergi kat belakang nu..” Pak Awang menerangkan ketiadaannya tadi. "Sorry la pakcik kasi kau terperanjat tadi..he.he..hidup jangan la serius sangat Pires..kau tak marah kan?” "Tak” jawabku sepatah. Dalam hati berkoyan-koyan sumpah kuhadiahkan buat Pak Awang “Macam gitula member..he...he...Tapi barangnya dah siap!” tambahnya. “Ha!What! Dah siap dah! Cantek!” hati ku keriangan. "Ye ke pak cik?” aku bertanya seperti orang yang tak makan sepuluh hari.
Secara otomatik hilang rasa gementar, marah dan seribu macam lagi perasaan runsing yang ku alami tadi. Lupa yang aku berada disebelah kawasan kubur pada pagi yang sungguh menyeramkan ini. “Yabada badoo! dapat juga akhirnya...” "Eh gelojohnya kau ni Pires.. mana duit yang kau janji tu..barang dah siap” balas Pak Awang "Ada wak ,ada. Don't worry, a promise is a promise. Ni dia”. Aku mengeluarkan wang yang dijanjikan. "Semuanya cukup, tak caya kira la” kataku sambil menghulurkan bungkusan itu. Pak Awang mengambil bungkusan itu sambil berkata "Takpe pakcik percaya pada kau” sambil tersenyum. Barang yang dikehendaki pula bertukar tangan. "Terimakasih pakcik” "Hmm..” jawab pak Awang dengan selambanya.
Aku mula ingin bergerak pulang dengan langkah yang riang dan mungkin melompat sedikit tanpa aku sedari. "Hoi Pires!!” jerit Pak Awang. Aku tersentak Berhenti dan berpaling, "Apa pak cik?” tanyaku. "Kau ni memang tak penyabar..kau tahu tak macam mana nak guna tu?” "Ye tak ye juga!” detik hati ku. Aku pantas berlari ke arah Pak Awang semula. "Aaa..macam mana nak guna cik?” ku bertanya dengan muka yang panas sedikit, mungkin merah sebab malu akibat tak sabar-sabar. Pak Awang seperti biasa tersenyum lagi. “Macam ni..” dia menerangkan "....selepas kau baca ayat tu tadi, last last sekali kau ambil air suam satu cawan dan campurkan benda ni. Kemudian kau minum sekaligus. Boleh ingat tak?” sambungnya. "Rasa rasanya boleh” jawabku sambil mengulangi semula prosedur yang telah diterangkan tadi. "O.K Selamat kau Pires” kata Pak Awang.
Itulah ucapan terakhir daripada PakCik Awang yang aku ingat. Selepas itu aku berlari ke arah motorku dan memecut pulang. Bzzzzzzzzzzzzzz..........bunyi itu semakin bingit. "Apa benda la yang berbunyi tu..dah la bisa ni dah tak tertahan, tambah lagi dengan bunyi bingit ni..adoi!” rungutku sendirian. Setelahku amati bunyi itu barulah aku sedar siaran radio tadi telah tamat. Aku mencapai remote Hi-Fi dengan tangan yang sedikit terketar-ketar. Capai sahaja aku memicit butang 'off' dan melepaskan remote tersebut. Plapp!..remote jatuh ke lantai..entah pecah entah rosak, lantaklah. Nampaknya kesakitan ini tak dapatku tanggungi lagi.
Aku cuba bangun dari katilku dan meraba-raba dalam kegelapan mencari suis bilik tidurku. “Ahh..tak jumpa pula” dengusku. Tanganku terpegang sesuatu, “Em..tombol pintu” agakku. Sederas mungkin aku membuka pintu lalu berlari keluar dari bilik itu. Tujuanku hanya ke suatu tempat. Tempat yang bisa aku menghilangkan bisa ini. Tempat yang pada mulanya aku takut untuk pergi kerana perjalanannya ku rasakan seram untuk dilalui pada waktu subuh begini. Mana taknya hendak ke situ je melalui semak-samun, belukar dan sebuah pohon beringin besar yang kelihatan sungguh mengerikan ditambahkan pula cerita-cerita tentang penunggu di pohon tersebut. Semak- samun tu pulak tah-tah ada ular besar ke, babi utan ke..pehh! ngeri kalau kena sondol.
Anak Pak Senik, Lan Kering ada menceritakan yang dia terserempak dengan penunggu tu ketika dia melewati pohon beringin itu. Lan kata tubuh penunggu tu besar dan tinggi, matanya pula merah menyala dan rambutnya panjang mengurai mencecah ke tanah. Hilaiannya pula sungguh mengerikan hinggakan terasa telinga dan jantungnya bagaikan mahu tercabut. Nasib baik la Lan yang terkenal dengan kepantasan berlari sempat cabut tanpa toleh ke belakang lagi. Tak sia-sia Lan jadi jaguh rentas desa sekolahnya tahun lepas. Itu cerita Lan Kering. Pak Mail dan anak daranya Salmah pula, dijumpai orang kampung pengsan di bawah pohon itu pada pukul 1 pagi. Kedua beranak tersebut baru pulang dari rumah bakal besannya Pak Ramon di kampung sebelah dan diceritakan terserempak dengan penunggu pohon beringin besar itu.
“Hui..Pak Mail yang kuat sembahyang dan rajin ke masjid orangnya pun boleh pengsan, apalagi aku yang sembahyang macam biskut, sekejap ada sekejap yilek..jahat betul la aku ni” hatiku berkata. Tapi apa nak buat keperitan ini memaksa ku walaupun telah ku tahan sedaya upaya. Aku terpaksa ke tempat itu yang perlu melalui kawasan beringin puaka itu. Tempat tu bukannya jauh dari rumahku tapi terpaksa lalu tempat tu. Lima minit punya jalan terasa macam 5 jam sebab terbayang bayang cerita-cerita seram dari orang kampung. "Hah...dah dekat dah” bisik ku sendirian sambil mataku melilau ke atas dan ke bawah menjeling khasnya pada pohon beringin tu. "Jangan la puaka tu muncul pula, jangan la apa-apa terjadi” ku berdoa.
Langkah semakin deras dan sampai sahaja ke tempat tu aku pun telah melepaskan segala bisa, keperitan dan kerimasan yang kurasakan sepanjang pagi ini. Dengan satu das yang mampat dan panjang serta diiringi bunyi yang mengalahkan special effect Hollywood. Lalu aku pun....
Prettt....crett..brottt..tott..tott.tott..prett..ciss..prettttttttttt......tut!!!
Bunyi itu memecahkan suasana subuh yang bening itu dan mematikan bunyi cengkerik yang tidak kenal kenal menyanyi lagu yang menyakitkan telinga aku ini. Bunyi itu juga agaknya boleh disalah anggapkan kokokan ayam di subuh ini oleh kampung sebelah. “Pegi la mampos!!!”
“Ahhhhh..........................................”
Lega rasanya...sakit perut yang menyebabkan aku tak dapat lena pagi ini telah ku buang ke jamban usang ini .Semuanya kerana aku takut nak lalui pohon beringin ini dan cuba tahan sampai pagi. Punca sakit perut ini pula sudah aku ketahui dan akan ku ajar Pak Awang yang ternyata memperdayakan aku. Selesai saja aku membersihkan diri aku memulakan langkah ke rumah. Perut yang sakit sudah hilang tetapi hatiku sakit. Sakit yang amat pedih. "Sial punya Pak Awang, penipu, pembohong, anak beruk, anak setan..aku benci! aku benci!” sumpah ku di dalam hati. Bunyinya aje macam dialog Ogy Ahmad Daud dalam filem Ali Setan.Hmmm....
Suasana telah terang sedikit kerana matahari hampir muncul. Burung-burung kecil pula sudah mula keluar dan berkicau-kicau keriangan. “Alamak!, nak lalu tempat tu lagi” hatiku berkata. "Ah.takde apa apa la..tadi masa pegi O.K je” bisikku lagi menyedapkan hatiku sendiri. Apabila sahaja aku tiba di bawah pohon beringin tersebut secara tiba tiba bulu roma ku berdiri. Jantung ku pula berdegup kencang macam kereta api elektrik yang sedang meluncur laju. Aku mempercepatkan langkah ku. Tiba-tiba ku lihat ada bayang-bayang susuk tubuh yang besar di hadapan ku. Ianya mengekori dari belakang. "Mampos gua..kenapa la hantu ni nak kacau aku..” rintihku dalam hati.
“Makk!!!!” jeritku. Tiba tiba bahuku di paut, langkahku mati dan aku mula menjerit meminta tolong. Aku berpaling dan, "..ya tuhanku hodohnya rupa mahkluk ini” Aku meronta aku meraung tetapi tangan mahkluk itu terlalu erat tak melepaskan ku. Secara tiba-tiba nafasku sesak dan mataku berpinar- pinar.
Segmen Dua:
Aduh sakitnya mataku apabila matahari menerjah masuk ke dalam kedua-dua kornea ini. Aku terasa ada tangan yang memicit-micit kepala ku yang sedikit panas ini. Ku dongak ke atas dan kelihatan seorang wanita. "Bila pulak si Petom ni balik dari rumah maknya ni? Kata nak balik minggu depan” hati ku bertanya. “Bila pulak aku terbaring ni?” “Hah dah sedar pun abang..” kata Petom dengan lembut, tidak selalunya menengking-nengking dan suka menyuruh-yuruhku. Mungkin sebab aku sakit la ni. "Abang tahu tak? Dah 3 hari abang tak sedarkan diri! Abang Jepri dan Salleh jumpa abang terbongkang kat bawah pohon puaka tu. Padan muka abang!” sambungnya agi. "Aik..baru je aku ingat dia dah berubah, sekarang dah mula garang balik..Ciss!” bisikku dalam hati.
Tak berani nak aku katakan, lebih-lebih lagi ketika tangan dia sedang memicit kepalaku. Mana tahu kalau aku balas katanya dia akan ketuk kepala aku macam selalu dia buat terutama ketika aku sedang khayal bermain dam dan chess bersama-sama kawanku di Warung Razali Alias. Bukannya kira ada member aku ke tidak. Sebat tetap sebat punya. Pakkal aje dia besar dari aku kalau tak aku bagi pelempang jepun sekali. Tapi tak pernah pun, semuanya dalam mimpi. Dulu Petom tak lah garang dah taklah se ‘giant’ sekarang, tetapi setelah anak sulung kami meninggal dunia ketika dilahirkan, perangainya berubah. Jadi garang dan suka marah-marah tetapi masih siuman. Dah tu pulak tabiat makan Petom turut berubah.
Kalau dahulu pandai jaga badan dan berhias, sekarang pantang ada makanan pasti dia sorang je habiskan, nasib baik kucing aku Coreng tak dimakannya juga. Aku pulak daripada rajin bekerja menoreh jadi pemalas yang amat sangat .Takde mood. Nak ke kebun pun malas. Kadang-adang je, itupun kalau dah sesak sangat. Petom pula gagal untuk mengandung lagi mungkin sebab tension yang keterlaluan ataupun salah siapa pun aku tak tahu. Aku ke dia ? Sudah la malas nak pikir!
"Adeh deh.deh..perut aku sakit Tom” ajuku. "Padan muka abang..rasakan! Abang ingat Tom tak tahu?” balasnya. "Tahu apa?” ku bertanya. "Sudah la Tom sudah tahu segala galanya” Gulp!! Aku cemas. “O..abang cari ubat untuk menundukkan Tom kan? Abang ingat abang pandai. Sanggup pulak tu bayar Pak Awang lima ratus. Tah mana tah dia cekau duit tu!” Adush mampos gua kali ini! Macam mana pulak Pak Awang boleh pecahkan rahsia ni. Tak guna punya orang tua!!! Bedebah!!
"Macam mana kau tahu Tom?” tanyaku sedikit terketar-ketar. Wajah Petom jadi merah sedikit tetapi tangannya masih memicit-micit kepalaku yang tiba-tiba semakin pening ni. Badan pulak tak larat dan terlantar ni kalau kena cepuk..perghh..maut gua! “Tu la abang sedara sendiri pun tak kenal! Bila orang ajak pergi majlis kahwin sedara mara abang tak ikut. Sombong tak tentu pasal. Pak Awang tu kalau abang nak tahu abang ipar Cik Sahar, adik bongsu bapak saya. Dia yang cakap abang nak kenakan saya. Dia pun tak kenal abang tapi bila dia tahu abang sebut nama saya dia terus ngadu dekat saya. Hah..saya suruh dia teruskan sahaja hajat awak tapi ubat yang awak makan tu sebenarnya olok-olok aje! Apa macam sedap tak daging katak campur dengan siput babi tu? He he he..”
Penerangan Petom tu menyebabkan perut serta-merta kecut dan lidahku berbelit-belit dan rasa loya serta mual yang amat sangat. "Uwekk!!....” aku bangkit dan termuntah disebelah katil itu. "Sakit bang, sakit?” tanya Petom dengan suara yang mengejek. Bub! Bub! "Muntah bang muntah” tambahnya sambil menepuk belakangku dengan hayunan yang bukan untuk meredakan muntahku tapi menambahkan lagi sakit badan ni. “Dah dah jangan tepuk lagi..dah baik dah” ujarku untuk mengelakkan tepukan tangan Petom yang seumpama Hulk Hogan tu.
Tetapi belum sempat aku baring semula ....
“Hah dah baik?!” herdiknya. "Nah ambik ni, o..nak tipu orang ea!, Nak kenakan aku!, Nak tundukkan orang ye!, Nah ambik ni!, Ambik ni!, Rasakan!, perangai buruk tak sudah sudah, nak...............” bebelan Petom tak renti-renti sambil jari-jemarinya menghukum di setiap segenap tubuh ku. Aku dah dapat tahan lagi lalu menjerit kesakitan "O.K la aku salah! aku salah.......!”
“JANGAN CUBIT AKU LAGI LAA........................................!!”
Aku rasa jeritan itu dapat didengari ke setiap pelusuk kampung ini dan kalau sahaja waktu ini malam orang mungkin ingat jeritan ini suara puaka pohon beringin itu!
TAMAT
August 13 1998 A Moshtales Production